Monday, September 21, 2009

Sejarah Klian Intan

Mulanya Di Sini

Di sebalik pemandangan indah Klian Intan, kedinginan dan kekayaan khazanah alam ciptaan Tuhan yang tiada tandingan tentunya tersemat 1001 kisah yang mungkin tidak diketahui ramai. Terdapat pelbagai versi di sebalik kewujudan nama Klian Intan ini sama ada dalam bentuk sejarah mahupun cerita lisan daripada orang lama. Kisah tersebut pastinya menarik hati sesiapa sahaja untuk mengenali Klian Intan dengan lebih dekat lagi.

Memetik kisah yang disampaikan oleh Hubert Berkeley, Pegawai Daerah Hulu Perak pada 16 Julai 1909 iaitu ketika upacara penyerahan sebahagian Daerah Reman ke dalam negeri Perak. Pada asalnya, nama kawasan perlombongan ini ialah ‘Klian Hitam’ tetapi disebabkan sebutan huruf ‘M’ di kalangan orang Melayu Pattani berbunyi huruf ‘N’, lama kelamaan perkataan ‘hitam’ tersebut bertukar menjadi ‘Hitan’ dan seterusnya beralih ke ‘Itan’.

Menurut E.W. Birch pula, dari catatan Datuk Sri Adika Raja yang menjelaskan bahawa nama ‘Klian Intan’ memang telah digunakan sejak awal penemuan lombong tersebut berikutan kepercayaan orang ramai terdapat intan di kawasan lombong berkenaan. Menurut Birch lagi, merujuk kepada sumber utama tulisan Raja Azman Raja Abdul Hamid, pada zaman dahulu ada seorang pembesar negeri Reman yang bernama ‘Wan Itam’. Dipercayai ‘Wan Itam’ lah yang telah membuka ‘klian’ atau lombong bijih timah berhampiran dengan Gunung Paku. Sejak itu, tempat tersebut digelar sebagai ‘Klian Wan Itan’ sehinggalah lama-kelamaan ia berubah menjadi Klian Intan dan kekal sehingga ke hari ini.

Memetik cerita dari sumber lain yang ada kaitan dengan kewujudan nama serta kawasan Klian Intan, difahamkan pada penghujung abad ke-18, Klian Intan terletak dalam sempadan Perak Utara dan di sinilah para pelombong membayar cukai kepada wakil sultan. Sementara itu, di Pattani, seorang kerabat pemerintah telah mengisytiharkan diri menjadi pemerintah yang berkuasa di Utara Pattani dan terkenal dengan jolokan Raja Reman.

Pada tahun 1821, ketika tentera Siam melancarkan serangan terhadap Kedah dan Perak, Raja Reman mencuri peluang meluaskan sempadan empayar kuasanya sehingga ke negeri Perak termasuklah kawasan perlombongan Klian Intan. Pemerintah licik ini telah menguasai lombong-lombong dan menikmati hasil cukai selama beberapa tahun.

Kawasan Klian Intan diisytiharkan secara rasmi milik negeri Perak pada tahun 1909 selepas termeterainya Perjanjian Bangkok antara kerajaan Siam dengan British pada 10 Mac 1909. Sebelum Klian Intan rasmi menjadi sebahagian dari Negeri Perak, telah berlaku beberapa siri peperangan antara rakyat Perak dengan kerajaan Siam yang telah mengorbankan banyak nyawa.

Selain itu, di Klian Intan terdapat sebuah bangunan yang digelar Klian Intan Town Committee. Suatu masa dahulu, bangunan ini menyimpan pelbagai peristiwa bersejarah yang amat besar untuk negara. Kononnya di sini bermulanya rundingan damai yang pertama sebelum berlakunya Rundingan Baling. Di sini juga para tentera mengumpulkan mayat gerila Komunis yang terkorban. Namun, itu semua kisah dahulu dan kini bangunan ini dijadikan tapak Pasar Besar Klian Intan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

0 comments:

Post a Comment

Hakcipta 2010 BERITA INTAN | Rekabentuk oleh Suraz Kayastha | Blogger Template Style You Can Hack